Projektor biasanya antara alatan yang boleh dikatakan besar dan sukar dibawa ke sana sini. Walaupun begitu bagi mereka yang gaya kerjanya memerlukan alat bantuan tayangan, alat ini masih menjadi keperluan.
Eksekutif muda biasanya mengimpikan yang projektor ini datang dengan saiz yang lebih kecil dan kompak agar senang dibawa ke mana-mana. Menyedari hakikat ini pengeluar projektor terbaru menjadikan impian eksekutif muda ini menjadi kenyataan. Memperkenalkan Smart Beam.
Smart Beam adalah di anatara projektor yang terkecil di dunia. Dengan saiz hampir sebesar bola golf, pengguna boleh memuatkan alat ini samada di beg komputer riba malahan di dalam poket seluar. Soal keselamatan tidak perlu dirisaukan kerana alat ini dilengkapi dengan pelindung getah yang berfungsi menyerap sebarang hentakan kecil semasa di bawa.
Oleh kerana sifatnya yang kecil, pengeluar projektor ini telah menghadkan hanya dua sambungan pada alat ini. Iaitu sambungan MHL/HDMI dan sambungan isian semula bateri. Ya, alat ini tidak memerlukan sambungan elektrik yang berterusan memandangkan adanya bateri terbina dalaman. Bateri ini yang boleh beroperasi selama dua jam berterusan harus di caj selama 4 jam.
Di sisi lain alat ini pula kelihatan 2 butang kawalan untuk alat ini beroperasi. Satu butang untuk butang kuasa manakala yang satu lagi butang laras fokus lensa. Memandangkan saiz alat ini yang kecil dan kompak, alat ini hanya boleh menayangkan paparan beresolusi 640×480 sahaja.
Smart Beam boleh disambungkan kepada mana-mana peranti mudah alih memandangkan sambungan MHL sudah tersedia. Akan tetapi bagi pengguna yang ingin menggunakan alat ini dengan peranti Apple, Pengguna perlu membeli ‘converter’ yang dijual berasingan.
Jarak paparan untuk Smart Beam boleh dikatakan fleksibel. Alat ini masih boleh memaparkan imej yang jelas walaupun digunakan dalam jarak 20-300 cm. Cuma satu permasalahan, alat ini tidak mempunyai tongkat penstabil seperti mana yang ada pada projektor lain.
Walaupun begitu Smart Beam nyata sebuah alat yang unik dan sangat berguna. Biar pun dipakai di rumah atau di pejabat, Smart Beam mampu beroperasi tanpa halangan. Smart Beam sangat praktikal bagi mereka yang bekerja dengan bantuan projektor. Harga Smart Beam juga boleh dikatakan murah jika dibandingkan dengan kelebihan-kelebihan yang ada.
Jangka hayat lensa Smart Beam boleh digunakan sehingga 10,000 jam dan projektor ini dijual dengan harga RM1099 untuk pasaran Malaysia.
0 comments:
Post a Comment